WILAYAH - SARAWAK > BERITA

17 SEKOLAH BAHARU DIJANGKA MULA OPERASI TAHUN INI - FADHLINA

24/02/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 17 sekolah baharu dijangka beroperasi di tujuh negeri pada tahun ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ia merangkumi lapan sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah melibatkan Selangor, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah meluluskan pembinaan 44 sekolah baharu berbanding 26 sekolah pada 2024. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding sembilan sekolah (dibina) masing-masing pada 2023 dan 2022 serta 11 (2021).

“Ia menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kemudahan pendidikan yang mencukupi,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM sedang merangka pelan pendidikan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bakal tamat pada tahun ini.

Beliau berkata pelan yang meliputi tempoh 2026-2035 itu bertujuan memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

“Secara asasnya, tunjang utama Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 berpaksikan kepada Akta Pendidikan 1996 dan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika menggulung usul itu bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata Pusat Pembelajaran Huawei yang merupakan kerjasama antara KESUMA dengan Huawei bakal memberikan faedah kepada 2,000 penerima manfaat meliputi tenaga pengajar, jurutera, industri dan pelatih.

Beliau berkata ketika ini, sebuah Pusat Pembelajaran Huawei telah ditubuhkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur yang menawarkan beberapa program latihan kemahiran seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi komunikasi.

Selain menyediakan program kemahiran, Sim berkata KESUMA turut menyediakan bantuan kewangan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Beliau berkata sejak penubuhannya lebih 20 tahun lepas, PTPK telah meluluskan pinjaman berjumlah RM5.2 bilion dengan lebih 400,000 pelatih telah menerima pembiayaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan