WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA MELALUI KEPENGERUSIAN ASEAN SOKONG KERJASAMA LEBIH BAIK DALAM PEMBIAYAAN HIJAU, RANGKA KERJA PELABURAN MAMPAN - TPM FADILLAH

25/02/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia komited untuk menjadikan ASEAN sebagai peneraju global dalam kewangan mampan dan akan menyokong kerjasama yang lebih baik dalam pembiayaan hijau, jaringan tenaga serantau dan perluasan rangka kerja pelaburan mampan.

Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peralihan tenaga ASEAN tidak boleh dilaksanakan secara berasingan dan tiada negara yang dapat mencapai matlamat kemampanan tanpa kerjasama serantau yang kukuh.

“Kekuatan kerjasama kami akan menentukan sejauh mana lancar dan berkesannya kita menyahkarbon ekonomi selain memastikan jaminan dan kemampuan untuk mendapatkan tenaga.

“Walaupun Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan adalah langkah ke hadapan yang baik, kita perlu berusaha untuk pergi lebih jauh,” katanya dalam ucaptama bertajuk Pembiayaan Mampan untuk Peralihan Tenaga pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN 2025 di sini hari ini.   

ASEAN memerlukan anggaran US$1.5 trilion dalam pelaburan iklim menjelang 2030 untuk sejajar dengan matlamat kemampanan global, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Fadillah juga berkata peraturan kewangan mampan perlu diselaraskan dalam ASEAN untuk mengurangkan ketidakpastian pelabur dan memudahkan aliran modal merentas sempadan. 

“Kita perlu menyeragamkan rangka kerja bon hijau, menyelaraskan keperluan pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta meningkatkan mekanisme kredit karbon untuk membuat pelaburan rentas sempadan dalam tenaga bersih dengan lancar dan cekap.

“Sektor kewangan perlu menerajui transformasi ini. Daripada membiayai projek tenaga boleh baharu dalam skala besar kepada menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menggunakan teknologi hijau, penyelesaian pembiayaan perlu inovatif, inklusif dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama awam-swasta (PPP) untuk berkongsi risiko pelaburan dan mempercepatkan projek tenaga bersih; menggunakan model kewangan campuran dengan menggabungkan pembiayaan konsesi dengan pelaburan swasta untuk meningkatkan tarikan projek hijau untuk dibiayai serta mengembangkan pasaran karbon dan bon peralihan untuk memanfaatkan sumber modal baharu selain memberi insentif kepada syarikat yang melaksanakan penyahkarbonan.

Beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah berani dalam perkara ini apabila negara meningkatkan insentif pelaburan hijau, memperluas tawaran sukuk hijau dan menambah baik akses korporat kepada tenaga boleh baharu melalui Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS). 

Selain itu, katanya melalui Energy Exchange Malaysia (ENEGEM), Malaysia menerajui usaha integrasi serantau, memudah cara perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan, termasuk dengan Singapura dan memastikan aliran modal yang cekap.

Mengenai peranan sektor perbankan dan kewangan, Fadillah berkata ia bukan lagi hanya mengenai pemberian pinjaman, ia mengenai menerajui dengan penyelesaian kewangan berstruktur, mengurangkan risiko projek hijau dan menyokong perniagaan dalam peralihan mereka ke arah kemampanan.

“Dengan teknologi baharu yang akan datang… sektor kewangan perlu menerajui dan memudah cara. 

“Bukan lagi mengenai sistem perbankan tradisional, kita perlu kreatif dan inovatif supaya ia bersesuaian dengan keperluan pemain industri, hala tuju kerajaan, hala tuju dunia. Jika anda menggunakan pendekatan konservatif, tiada pinjaman.

“Lebih penting lagi, ia mesti mampu milik dan mampan, kemudian barulah ada jaminan dari segi bekalan, tenaga dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan