WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DURIAN SEGAR MALAYSIA DIANGGAP PREMIUM DI PASARAN CHINA

25/02/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak 413.61 tan metrik durian segar Malaysia bernilai RM24.84 juta telah dieksport ke China bagi tempoh 24 Ogos hingga 31 Dis 2024, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Beijing, durian segar negara ini menerima sambutan amat menggalakkan di pasaran China dengan buah itu dianggap sebagai premium.

“Durian Malaysia kini boleh didapati di 16 wilayah di China antaranya di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzen, Tienjin dan Chengdu. PPP di Beijing juga aktif melaksanakan aktiviti promosi kepada pengguna di China untuk mengenali ciri-ciri dan kelebihan pelbagai variasi durian dari Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang ingin tahu jumlah keseluruhan eksport durian Malaysia, sambutannya di pasaran China serta cabaran utama yang dijangka dihadapi industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, beliau berkata durian Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China dan Singapura dengan saiz pasaran durian segar di China bernilai RM32 bilion pada 2023.

Arthur berkata antara cabaran utama dihadapi industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar adalah pengeluaran yang tidak dapat memenuhi permintaan.

“Permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi dengan pengeluaran semasa, bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian kebiasaannya hanya dua kali setahun,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Chow berkenaan langkah kerajaan dalam membantu pekebun durian, Arthur berkata sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kementerian melalui Jabatan Pertanian telah menyediakan insentif bagi tanaman durian di bawah Projek Pembangunan Tanaman Buah-buahan Jangka Panjang.

“Bagi 2021 hingga 2024, sebanyak 4,762 orang telah menerima manfaat seperti pembangunan infrastruktur ladang, input pertanian serta peralatan ladang daripada program ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan