WILAYAH - TIMUR > BERITA

JETI PELANCONGAN TOK BALI MERCU TANDA BAHARU DI KELANTAN

25/02/2025 03:22 PM

PASIR PUTEH, 25 Feb (Bernama) -- Jeti Pelancongan Tok Bali akan menjadi mercu tanda baharu di  Kelantan yang akan memacu ekonomi setempat tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata seiring dengan pelancaran Indahnya Kelantan 2025, Tok Bali diyakini berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.

"Oleh itu, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat amat diperlukan bagi memastikan pembangunan yang mampan dan berimpak tinggi dapat dibangunkan.

"Dengan adanya Jeti Pelancongan Tok Bali ini diharapkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Jeti Pelancongan Tok Bali di sini semalam.

Beliau berkata Tok Bali mempunyai keunikan tersendiri dengan keindahan alam dan memiliki potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan secara mampan.

Mohd Nassuruddin berkata pengusaha pelancongan disaran mengamalkan konsep pelancongan mampan demi manfaat jangka panjang. 

"Pastinya menjadi tanggungjawab bersama bagi seluruh pengguna, pelancong dan masyarakat agar memastikan keindahan yang ada ini dapat dikekalkan dan dijaga sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Nasrom Holding Ab Halim Hassan berkata syarikatnya telah dilantik oleh kerajaan negeri sebagai pihak yang akan menguruskan jeti Tok Bali dengan kos berjumlah RM5 juta termasuk penyediaan bot, pembinaan jeti dan prasarana.

Beliau berkata terdapat 10 bot akan disediakan di jeti berkenaan bagi memberi kemudahan kepada pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan kemudahan itu dijangka beroperasi pada Julai tahun ini.

"Pelancong juga berpeluang menikmati pengalaman menyusuri pesisiran Sungai Semerak, selain beberapa tarikan pelancongan lain akan turut disediakan termasuk restoran terapung," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan