WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIMOR-LESTE DIJANGKA MAMPU BERI SUMBANGAN POSITIF KEPADA ASEAN - MITI

25/02/2025 04:42 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran and Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia, selaku pengerusi ASEAN 2025 yakin Timor-Leste akan menjadi ahli baharu yang mampu memberi sumbangan positif kepada blok serantau itu, kata Setiausaha Bahagian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Hairil berkata penyertaan Timor-Leste dijangka membawa manfaat yang signifikan, meskipun masih terdapat kebimbangan terhadap kemampuan negara itu untuk memenuhi komitmennya. 

"(Walaupun terdapat kebimbangan ini), Malaysia, sebagai pengerusi (ASEAN pada 2025), (percaya) Timor-Leste akan menjadi ahli baharu ASEAN yang boleh menyumbang dengan baik," katanya kepada Bernama.

Hairil optimis Timor-Leste semakin hampir untuk mencapai keahlian penuh ASEAN, dan ini menandakan satu pencapaian penting apabila negara itu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi ke-47 mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Persidangan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, Johor. 

Mesyuarat AEM ke-31 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari akan dipengerusikan oleh Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sebelum mesyuarat itu, Mesyuarat Kumpulan Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) ke-12 telah diadakan pada 22-23 Februari, manakala mesyuarat HLTF-EI ke-47 berlangsung pada 24-25 Februari. Mesyuarat Prep-SEOM untuk Persidangan AEM akan diadakan pada 26-27 Februari.

Sementara itu, Hairil berkata buat pertama kali dalam sejarah, Timor-Leste dibenarkan menyertai secara langsung dalam perbincangan HLTF-EI dan Prep-SEOM untuk AEM ke-31 itu.

 "Kami mahu Timor Leste menjadi sebahagian daripada ASEAN. Semasa mesyuarat HLTF-EI, kami memberikan mereka peluang untuk menyuarakan pendapat, pandangan, dan cadangan mereka mengenai semua agenda. Ini adalah satu pencapaian penting sebelum kami secara rasmi menyambut Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN," katanya.

Menurut Hairil, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal daripada Sekretariat ASEAN akan memainkan peranan penting dalam memastikan Timor-Leste dapat mengikuti prinsip dan tonggak ekonomi ASEAN.

Semalam, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Timor-Leste dijangka mencapai keahlian penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Beliau berkata satu unit khas telah ditubuhkan di Sekretariat ASEAN di Jakarta untuk mempercepatkan penyertaan Timor-Leste.

Timor-Leste mula diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada tahun 2005 sebelum memohon keahlian secara rasmi pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, bersetuju secara prinsip untuk Timor-Leste menjadi ahli ke-11 kumpulan itu.

Negara itu juga telah diberikan status pemerhati, membolehkan penyertaannya dalam semua mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan