KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Tiga bekas pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditahan reman sejak Jumaat lepas, kerana disyaki terlibat rasuah, dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa mereka dibebaskan selepas memberi keterangan, dan pada masa yang sama, tempoh reman mereka juga berakhir hari ini.
“SPRM akan mengumumkan penemuan kes ini nanti, namun buat masa ini, siasatan masih diteruskan,” kata sumber tersebut ketika dihubungi hari ini.
Pada Ahad, media melaporkan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan Ismail ditahan reman sejak Jumaat lepas, kerana disyaki terlibat rasuah, dengan seorang daripada mereka telah dibebaskan pada 23 Feb.
SPRM bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang penemuan termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai, selain tidak menolak kemungkinan beberapa saksi lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial