KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Peluang pelaburan Intra-ASEAN banyak yang belum diterokai dan usaha yang signifikan masih diperlukan bagi mencapai penjajaran pengawalseliaan serantau, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Katanya, BNM berwawasan agar sektor kewangan mampu memainkan peranan utama dalam memacu fasa seterusnya integrasi ekonomi di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN 2045.
Ini, memerlukan sektor tersebut untuk memanfaatkan secara strategik tiga daya penggerak iaitu pembiayaan, teknologi dan bakat.
“Kita boleh memulakan dengan pembiayaan, yang merupakan pemacu penting pertumbuhan ekonomi ASEAN. ASEAN menghadapi jurang pembiayaan yang agak signifikan yang menuntut perhatian segera,” katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari khas di Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan ASEAN 2025 di sini hari ini.
Abdul Rasheed menekankan bahawa teras kemajuan ASEAN terletak pada sektor kewangan selama bertahun-tahun. Sektor ini bertindak sebagai enjin pusat ekonomi selain memudahkan aliran dalam ASEAN.
Malah, sejak beberapa dekad lalu, ASEAN telah membuat kemajuan dalam memudahkan aliran modal serantau, menghubungkan infrastruktur pembayarannya dan memperkenalkan rangka kerja bagi menyokong integrasi sistem perbankan melalui Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN, katanya.
Beliau yang memetik laporan Bank Pembangunan Asia berkata ekonomi ASEAN memerlukan pelaburan infrastruktur sekurang-kurangnya US$2.8 trilion mulai 2023 hingga 2030 untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan bertindak balas terhadap perubahan iklim.
“Projek -projek utama di rantau ini yang memerlukan pembiayaan yang besar adalah grid tenaga ASEAN, yang penting untuk memajukan agenda iklim serta keselamatan tenaga di rantau ini dan pelbagai projek lebuh raya termasuk kereta api seperti Rangkaian Lebuhraya Asia, yang merupakan landasan pembangunan ekonomi dan integrasi serantau,” katanya.
Tambahan pula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana ASEAN juga menghadapi jurang pembiayaan yang agak mendesak, melebihi US$300 bilion setahun dan angka-angka ini menggariskan keperluan kritikal untuk pelaburan strategik serta usaha kolaboratif bagi meraih masa depan yang berdaya tahan dan mampan untuk ASEAN.
“Keperluan tersebut di rantau ini lebih menekan, yang mana lebih daripada 90 peratus daripada semua pembangunan infrastruktur sosial secara tradisinya bergantung kepada sumber dan pembiayaan awam yang menghadapi peningkatan kekangan," katanya.
Di sektor swasta, memanfaatkan sumber kewangan awam, swasta dan derma, bersama -sama dengan pembangunan kewangan, boleh menjadi strategi utama untuk menarik modal swasta tambahan bagi pembangunan mampan di ASEAN.
Beliau memberitahu sektor kewangan adalah penting dalam memajukan gabungan kewangan untuk memenuhi jurang pembiayaan di ASEAN dengan membolehkan tahap pengambilan risiko yang boleh diterima berdasarkan pelbagai sumber pendanaan.
“Pendekatan ini memanfaatkan kesediaan kewangan pembangunan dan juga pembiaya dermawan, termasuk dana kedaulatan dalam ASEAN, untuk mengambil pendedahan risiko yang lebih besar, menggunakan alat seperti jaminan kredit separa dalam menarik pelabur tambahan,” katanya.
Dalam Minggu Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor yang akan datang dari 7-10 April depan di Kuala Lumpur, BNM akan menjadi tuan rumah beberapa acara untuk mengemukakan perbincangan ini.
Acara-acara ini termasuk pertemuan pelabur tertutup yang akan memberi tumpuan kepada penyelesaian pembiayaan inovatif untuk projek-projek hijau dan peralihan ASEAN yang boleh diakses serta sesi padanan membabitkan projek ASEAN yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial