IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan surat notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Speaker (Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid) telah menghantar surat (notis) secara rasmi kepada SPR semalam,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris Ahli DUN Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia, pada Sabtu.
Ishsam penyandang DUN Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum Ke-15 2022, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Pulau Pinang, petang Sabtu lalu.
Susulan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan kerana DUN Perak belum mencapai mandat tiga tahun.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional perbincangan di peringkat kepimpinan parti akan dilakukan sebelum SPR bermesyuarat menentukan tarikh-tarikh penting PRK DUN itu.
Ahmad Zahid berkata parti akan berbincang dengan SPR berkenaan tarkh sesuai diadakan PKR berkenaan susulan sambutan bulan Ramadan dan Syawal serta Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) yang akan diadakan 15 hingga 19 April ini.
“Jadi kita akan minta SPR memberikan pandangan dan ia nanti tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata berdasarkan persefahaman yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan, BN akan meletakkan calon pada PRK tersebut.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bulan Ramadan tidak menjadi halangan bagi pelaksanaan kempen pilihan raya, sekiranya SPR menetapkan sedemikian.
Beliau berkata beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri pernah diadakan dalam bulan Ramadan sebelum ini, membuktikan ia boleh dilaksanakan tanpa masalah.
“Kita menurut ketetapan yang dibuat oleh SPR, kalau ditetapkan pada bulan Ramadan, ia tidak menghalang untuk kita berkempen. Lagi cepat lagi baik sebenarnya, kalau panjang (tempoh) itu macam-macam akan berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan projek infrastruktur jalan raya dan jambatan di sini hari ini.
Ahmad Maslan berkata beliau dan Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) akan mengadakan pertemuan dengan jentera parti di Tapah esok, bagi untuk taklimat berkenaan persiapan pilihan raya selain mengadakan majlis tahlil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial