WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DOKTOR DIDENDA RM2,000 KELUARKAN PERAKUAN KELAHIRAN PALSU 

25/02/2025 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Seorang doktor sebuah hospital swasta didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana mengeluarkan perakuan kelahiran palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu ke atas Arthur Varkey Samuel, 83, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintakan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa mengeluarkan perakuan kelahiran yang mengandungi butiran palsu bagi seorang wanita iaitu ibu bayi di sebuah hospital swasta di sini, pada 10.53 malam hingga 11.53 malam, 11 Jan 2008.

Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki yang merupakan pengadu telah menahan Arthur di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Wilayah Persekutuan pada 6 pagi, 25 Feb lepas kerana disyaki mengeluarkan perakuan kelahiran palsu itu.

Perakuan kelahiran tersebut telah digunakan bagi pendaftaran kelahiran seorang kanak-kanak lelaki di JPN Cawangan Seputeh di sini, pada 25 Jan 2008. 

Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu bukan anak kandung kepada wanita terbabit dan suaminya melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya.

Kes itu dikendalikan Pengawai Pendakwa JPN Wilayah Persekutuan Mohamad Faizal Rusli, manakala Arthur diwakili peguam Allan Chan Meng Wai.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan