BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PETRONAS, PETROVIETNAM PERCEPAT KERJASAMA DALAM SEKTOR TENAGA DI VIETNAM  - PM ANWAR

26/02/2025 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Vietnam Oil and Gas Group (Petrovietnam) akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia dengan memfokuskan sektor tenaga boleh baharu.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga,” kata perdana menteri dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Anwar berkata ia adalah antara perbincangan semasa sesi sarapan pagi bersama Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh awal pagi tadi.

Beliau berada di Vietnam untuk lawatan kerja dua hari.

Mengenai sektor tenaga, Anwar berkata Malaysia telah secara serius dalam melabur dalam tenaga hijau termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-Petrovietnam.

“Ia adalah cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari. Malaysia dan Vietnam berkongsi jaringan hubungan yang kukuh, malah terus diperkukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Ia tidak sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu komitmen untuk menyemarak kerjasama dalam pelbagai sektor utama yakni perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital, dan keselamatan serantau,” katanya.

Beliau berkata Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital dan Malaysia bersedia untuk mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

“Pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam dan kami mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi diterajui bersama,” katanya.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam pada 2024 menokok sebanyak 4.4 peratus kepada US$18.14 bilion (RM83.11 bilion) daripada US$17.38 bilion pada tahun sebelumnya, memaparkan peningkatan dagangan dua negara anggota ASEAN itu.

Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada 2024 yang menyumbang 2.9 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia, negara itu juga berperanan sebagai destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan sumbangan sebanyak 3.6 peratus selain menjadi sumber ke-13 import terbesar atau 2.1 peratus daripada import Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan