WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINDAAN AKTA BOLEH JADIKAN BERNAMA PENERAJU KANDUNGAN BERITA BERWIBAWA - KPE

26/02/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 boleh membawa agensi berita rasmi negara itu menjadi peneraju kandungan berita berwibawa dengan lebih strategik dan berkesan di semua platformnya termasuk wires, televisyen, radio dan digital. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata peranan Bernama juga boleh diperkukuh dengan pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780)  yang memperluas penyaluran dan capaian berita, maklumat dan kandungan.

“Jabatan Pengarang Bernama merangkumi semua platform beroperasi secara bersepadu untuk memantapkan kandungan serta penyaluran berita dan maklumat khususnya kepada pelanggan Bernama.

“Berpegang kepada etika dan prinsip kewartawanan yang ketat, Bernama sudah sejak lama dahulu dikenali sebagai penyedia kandungan berwibawa dan sumber berita diyakini ramai,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini berkata ia bertujuan memastikan komposisi baharu yang lebih dinamik sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa industri media.

RUU itu meminda Seksyen 2 Akta 780 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.

Nur-ul Afida turut berharap pasukan editorial Bernama meningkatkan lagi kecekapan termasuk menghasilkan pelaporan dan kandungan yang lebih objektif dan kritikal.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Fahmi dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching atas panduan dan bimbingan dalam mengendalikan hal-hal berkaitan pindaan akta berkenaan sejak awal tahun lepas.

Mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen agar Bernama dijadikan suara Malaysia di peringkat global, Nur-ul Afida mengakui Bernama mempunyai potensi besar untuk diperkasakan sebagai agensi media global termasuk membuka semula biro-biro koresponden khususnya di negara ASEAN.

“Pertama, pengembangan kapasiti dan melabur dalam latihan untuk wartawan dan menggunakan teknologi terkini, Bernama boleh memastikan bahawa berita yang disampaikan adalah tepat dan berkualiti tinggi.

“Bernama turut memanfaatkan platform digital dengan lebih efektif, seperti media sosial dan aplikasi berita untuk menyalurkan berita kepada pengguna dan pelanggan luar negara kita.

“Malah, laman web Bernama juga dalam enam bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab dan Sepanyol yang membolehkan banyak pihak merujuk kepada kandungan Bernama,” katanya. 

Nur-ul Afida berkata Bernama telah lama beroperasi secara global apabila membuka biro koresponden di Jakarta, Manila, Bangkok dan Singapura pada 1970-an, selain menganggotai beberapa pertubuhan agensi berita antarabangsa seperti Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) yang mempunyai 41 agensi berita dari 33 negara serta NAM News Network dan Union of OIC News Agency (UNA).

“Menerusi kerjasama yang terjalin di bawah keanggotaan serta memorandum persefahaman dengan agensi ini, berita, foto dan video Bernama juga diguna pakai oleh agensi berkenaan. Justeru, ini juga memperluas jaringan global dan jangkauan kandungan kita,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen atas sokongan mereka terhadap pindaan akta berkenaan, yang mendapat sokongan majoriti daripada kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata pindaan berkenaan akan membolehkan Bernama menjadi lebih inklusif mulai sekarang.

"Pindaan ini akan menyatukan platform media cetak, digital dan elektronik dalam lembaga Bernama. Ia tidak seharusnya terbatas kepada editor media cetak sahaja. Pandangan mereka akan membantu menjadikan Bernama lebih berdaya saing dan efisien,” katanya.

Wong berkata Menteri Komunikasi telah menyatakan bahawa landskap media telah berubah dan perlu diiktiraf.

Beliau turut mengambil maklum pandangan beberapa Ahli Parlimen semasa perbahasan rang undang-undang berkenaan yang menggalakkan Bernama untuk memperkukuh kewujudan agensi itu.

“Ia sangat mengujakan kerana Bernama kini dalam proses peralihan daripada operasi digital kepada pelan transformasi AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Wong berkata Bernama baru sahaja menganjurkan kursus berkaitan AI kepada media tempatan dengan sokongan Huawei Malaysia.

“Bernama berbangga dapat menyokong wartawan Malaysia untuk meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan