BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENCARIAN CFO BAHARU MASIH BERJALAN, SIASATAN DALAMAN KES TERPENCIL - PRESIDEN MAYBANK

26/02/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pengisian jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan yang baharu masih berjalan selepas Khalijah Ismail ditamatkan perkhidmatannya baru-baru ini susulan siasatan dalaman, kata Malayan Banking Bhd (Maybank) hari ini.

"Kami akan mengumumkannya sebaik sahaja kami mengenal pasti individu berkenaan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli kepada wartawan selepas mengumumkan keputusan kewangan bank itu untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024).

Beliau berkata siasatan dalaman itu merupakan kes terpencil dan tidak dicetuskan oleh pihak berkuasa, dan tiada pelanggaran peraturan ditemui semasa siasatan dalaman.

Pada 17 Februari, Maybank mengumumkan Khalijah Ismail ditamatkan perkhidmatannya sebagai CFO berkuat kuasa serta merta susulan siasatan dalaman bank berkenaan.

Bank itu melantik Malique Firdauz Ahmad Sidique sebagai Pemangku CFO Kumpulan berkuat kuasa pada hari yang sama.

Khairussaleh menegaskan semula bahawa tiada berlakunya pemalsuan akaun, serta tiada kerugian kewangan yang dialami oleh pihak bank.

"Siasatan dalaman itu juga, kami percaya, ia merupakan kes terpencil, dan tidak dicetuskan oleh pihak berkuasa. Juga tiada pelanggaran peraturan yang ditemui. Jadi, saya percaya penjelasan ini sudah memadai," katanya.

Khairussaleh berkata siasatan dalaman yang dijalankan ke atas Khalijah adalah mengikut proses yang sewajarnya serta dasar dalaman bank dan beliau diberikan peluang untuk membentangkan kesnya semasa proses siasatan.

"Kami menjunjung tadbir urus dengan standard tertinggi. Kami berpendapat sebarang aktiviti atau sebarang keputusan yang kami buat perlu berdasarkan prinsip-prinsip utama termasuk tadbir urus dan ini termasuk tindakan yang kami ambil ke atas CFO Kumpulan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan