GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Durian ‘musang king’ dan ‘black thorn’ (duri hitam) menjadi sebahagian menu istimewa yang disajikan pada majlis minum petang sempena sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi di sini hari ini.
Majlis minum petang dihoskan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu bagi meraikan menteri-menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes, yang hadir sebagai Pemerhati ASEAN.
Ternyata 'raja buah’ yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia turut digemari para delegasi di samping sajian kuih-muih tempatan seperti apam balik, karipap, kuih talam, keledek goreng dan ubi goreng serta ais kacang.
Menteri-menteri pertahanan dan delegasi kelihatan teruja menikmati juadah yang disediakan termasuk buah-buahan tempatan seperti mata kucing, salak, jambu, nanas dan nangka sekali gus menonjolkan kepelbagaian citarasa Malaysia.
Sedang menikmati juadah minum petang di tepi laut di hotel yang menjadi lokasi permukiman tersebut, para delegasi dikejutkan pula dengan lintas hormat dan kawalan keselamatan pesawat F/A-18D Hornet di ruang udara.
Lintas hormat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Butterworth itu juga sebagai simbolik persahabatan anggota ASEAN.
Pada sebelah malam, Mohamed Khaled turut menjadi ‘tuan rumah’ bagi majlis makan malam delegasi Permukiman ADMM.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan tahap kawalan keselamatan serta kesiagaan pada tahap yang tinggi serta pemantauan berterusan sepanjang permukiman itu.
Menurut kenyataan itu, pasukan keselamatan turut mengkoordinasi aspek kawalan lalu lintas di sekitar Pulau Pinang bagi melicinkan perjalanan acara memandangkan negeri ini juga merupakan destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengatur gerak kapal KD Kinabalu dan KD Laksamana Hang Nadim serta beberapa Fast Interceptor Craft (FIC) untuk melaksanakan rondaan sektor maritim bagi memastikan keselamatan kawasan perairan di Selat Melaka, berhampiran lokasi penganjuran acara yang turut dibantu rondaan bot oleh Polis Marin.
“TUDM pula melaksanakan rondaan udara yang merupakan satu langkah strategik bertujuan memastikan keselamatan ruang udara negara sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.
Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial