WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MBSB GROUP BUKA PUSAT PERBANKAN KOMERSIAL DI MATRADE SOKONG PKS DAN SYARIKAT BERSAIZ SEDERHANA

28/02/2025 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- MBSB Group melancarkan Pusat Perbankan Komersialnya di ibu pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana terutamanya yang berkembang ke pasaran antarabangsa. 

Terletak di Menara MATRADE, agensi penggalakan perdagangan nasional Malaysia, pusat itu menyediakan perniagaan dengan akses yang lancar kepada penyelesaian kewangan, nasihat perdagangan dan pandangan strategik untuk mengukuhkan daya saing global mereka.

“Penubuhan pusat ini di pejabat MATRADE menjadi langkah penting dalam membolehkan PKS dan syarikat bersaiz sederhana mencapai skala antarabangsa. 

“Perniagaan memerlukan lebih daripada pembiayaan. Mereka memerlukan sokongan strategik, pandangan industri dan akses yang lancar kepada nasihat perdagangan. Kehadiran MBSB Group di MATRADE akan memangkin perniagaan untuk meninjau peluang baharu dengan yakin,” kata Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. 

Pusat ini menawarkan pembiayaan perdagangan, penyelesaian modal kerja, perbelanjaan modal (capex), pembiayaan dan perkhidmatan pengurusan tunai yang disesuaikan dengan keperluan PKS dan syarikat bersaiz sederhana.

Dengan mempunyai kepakaran kewangan di MATRADE, MBSB Group menyasarkan untuk menyokong perniagaan dalam memanfaatkan peluang pasaran baharu dan mengukuhkan daya tahan mereka.

“Pelancaran pusat kami menjadi pemangkin perubahan kepada PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang berhasrat untuk berkembang di luar Malaysia. Kami menyedari perniagaan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan. 

“Mereka memerlukan rakan perbankan yang memahami perjalanan mereka, menjangka keperluan mereka dan menyokong mereka dalam setiap langkah,” kata Pengerusi MBSB Group Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Menurut MATRADE, pusat itu sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang menekankan pengembangan eksport, pendigitalan dan pembangunan industri bernilai tinggi.

Strategi pengembangan MBSB Group termasuk Pusat Perbankan Komersial di seluruh Malaysia, dengan lokasi di PJ Sentral, Pulang Pinang, Seberang Jaya, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu serta pusat baharu di Putrajaya, Shah Alam, Ipoh dan Kuala Terengganu, memastikan PKS di seluruh negara mempunyai akses kepada sokongan kewangan.

“Dengan menggalakkan ekosistem perdagangan yang lebih berdaya maju, kami menyasarkan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan jaringan global. 

“Pelancaran Pusat Perbankan Komersial MBSB Group sejajar dengan visi ini, menyediakan penyelesaian kewangan yang lancar dan nasihat perdagangan, termasuk melalui saluran digital yang memperkasakan pengeksport Malaysia di pasaran global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

MBSB Group menggalakkan perniagaan berhubung dengan penasihat kewangannya di Pusat Perbankan Komersial baharu di MATRADE untuk mendapatkan pembiayaan, penyelesaian perdagangan dan khidmat nasihat. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan