WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU PERKHIDMATAN PARLIMEN 2025 TIDAK JEJAS NASIB PENJAWAT AWAM DI PARLIMEN - JOHARI

28/02/2025 11:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Petugas atau penjawat awam yang berkhidmat di Parlimen tidak akan terjejas dengan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Isnin lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata melalui RUU berkenaan, perkhidmatan di Parlimen bakal menyaksikan pengasingan kuasa secara demokratik atau dikotomi antara Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) dan pentadbiran awam.

Beliau berkata MPP dipengerusikan secara bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dibantu empat Timbalan Yang Dipertua, manakala pentadbiran awam diketuai Ketua Pentadbir serta penjawat awam daripada perkhidmatan induk, iaitu kementerian atau jabatan tertentu.

Johari berkata sekiranya RUU berkenaan diluluskan kelak, petugas di Parlimen tidak akan diberhentikan, sebaliknya mereka diberikan pilihan sama ada ingin kekal di Parlimen atau kembali berkhidmat di jabatan mahupun kementerian asal mereka.

Malah, katanya, pencen mereka juga tidak terjejas di bawah akta itu.

“Mereka yang bukan bertugas dalam dewan masih bertugas seperti biasa. Mereka ialah pegawai kerajaan, penjawat awam yang mempunyai parent service (perkhidmatan induk) masing-masing seperti JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ataupun ketua-ketua perkhidmatan.

“Mereka tidak bersangkut paut dengan apa yang termaktub dalam akta (RUU) ini. Mereka masih lagi bertugas di sini (Parlimen), melainkan jika mereka dipindahkan ke tempat lain. Itu bukan dalam kuasa kita untuk menyekat,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini, yang turut disertai Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Berkaitan urusan lantikan Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika RUU itu diluluskan kelak, Johari berkata pelantikan tersebut tidak dibuat sewenang-wenangnya kerana ia memerlukan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Setiausaha kedua-dua dewan mempunyai tanggungjawab terus kepada Speaker dan ia bebas daripada JPA. MPP boleh melantik sesiapa yang dirasakan layak untuk menjadi setiausaha dan dalam undang-undang, mestilah mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Johari berkata RUU itu mampu mengembalikan kebebasan Parlimen dan sehubungan itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang memberikan sokongan terhadap RUU berkenaan yang dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan.

“Maksud kebebasan Parlimen ini adalah Parlimen mempunyai kebebasan untuk melaksanakan tugas-tugas seperti termaktub dalam Perlembagaan. Jadi, kita tidak lagi dianggap sebahagian daripada eksekutif, tetapi harus terpisah daripada badan ini,” katanya.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu perkhidmatan yang berasingan daripada perkhidmatan awam.

Ia juga memperuntukkan penubuhan MPP yang berfungsi, antaranya, melantik dan menentukan terma serta syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan, serta membangunkan dan melaksanakan program serta latihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan