KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengadakan program siaran langsung Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri bermula Isnin ini, bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi iaitu Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri akan disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada 11 pagi dan 5 petang mengikut keperluan, yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah.
Dalam siaran langsung pertama taklimat itu yang disampaikan oleh Tunku Nashrul hari ini, beliau berkata PMO akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.
Beliau berkata taklimat itu juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
“Dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih adalah amat penting. Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang akan disiarkan secara langsung.
“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan MADANI yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam siaran langsung di Facebook rasmi Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial