WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JURURAWAT BERHENTI: RAMAI INGIN BERKHIDMAT DI NEGERI SENDIRI - LUKANISMAN

03/03/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Penempatan sebahagian jururawat yang tidak dihantar bertugas ke negeri asal adalah antara faktor penyebab mereka memilih meninggalkan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang berkata situasi itu juga berlaku apabila jururawat berkenaan beranggapan tawaran diberikan tidak menepati cita rasa mereka.

“Sebagai contoh kebanyakan beranggapan apabila kerja kerajaan jadi jururawat, kebanyakan ingin ditempatkan di kampung sendiri, contoh negeri popular Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun kita juga berhadapan masalah kekurangan jururawat seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung beban tugas jururawat yang menyebabkan mereka berhenti kerja.

Lukanisman berkata situasi berkenaan memberikan cabaran kepada Kementerian Kesihatan, memandangkan penempatan dibuat khusus bagi menampung keperluan negeri yang memerlukan.

Beliau berkata seramai 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk meninggalkan KKM sepanjang lima tahun lepas, dengan 27.98 peratus daripadanya atas faktor masalah peribadi.

Menjawab soalan berhubung kekosongan 14,771 perjawatan yang tidak diisi di Kementerian Kesihatan sehingga 31 Dis lepas, Lukanisman berkata kekosongan ini bukanlah berlaku di fasiliti semasa.

“Ini ialah kekosongan diwujudkan bagi fasiliti baharu, contohnya projek (kesihatan) yang mencapai 85 peratus siap, kita akan memulakan exercise untuk memohon perjawatan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung peratus perjawatan jururawat yang telah diisi, Lukanisman berkata secara keseluruhannya pengisian jururawat di KKM telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat di KKM.

Beliau berkata sehingga 31 Dis lepas, seramai 70,229 jururawat berkhidmat di KKM yang terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim.

Lukanisman berkata secara keseluruhannya pengisian jururawat di KKM meliputi hospital, Klinik Kesihatan, Institusi Perubatan, Institut Latihan KKM dan Ibu Pejabat Kesihatan KKM, telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat.

Beliau juga berkata jumlah jururawat yang berhenti berkhidmat dengan KKM tahun lepas ialah seramai 582 orang dengan alasan seperti ingin bekerja di sektor swasta, isu penempatan, mengikut pasangan, waktu bekerja syif dan masalah kesihatan pegawai atau keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan