WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BYD, DJI LANCAR SISTEM DRON PINTAR BERSEPADU

03/03/2025 04:55 PM

SHENZHEN, 3 Mac (Bernama-Xinhua) -- Pengeluar automotif China, BYD dan gergasi dron, DJI melancarkan sistem dron yang dipasang pada kenderaan pintar bagi mengubah kereta menjadi platform hiburan dan eksplorasi mudah alih, lapor Xinhua. 

Sistem yang dinamakan "Lingyuan" itu mengintegrasikan dron dengan kenderaan, menawarkan sudut pandangan menegak bagi merakam detik perjalanan secara masa nyata. 

Menurut pengumuman syarikat pada majlis pelancaran di Shenzhen, sistem ini akan tersedia untuk semua model BYD. 

"Lingyuan" dilengkapi pad pendaratan boleh laras yang dipasang pada kenderaan, membolehkan pelepasan dan pendaratan automatik, synchronised follow-shooting, serta penyimpanan dan pengecasan pantas bagi dron, kata Naib Presiden Kanan BYD, Yang Dongsheng. 

"Kerjasama antara BYD dan DJI bukan sekadar meletakkan dron dalam kereta," kata Pengerusi dan Presiden BYD, Wang Chuanfu dalam majlis itu.

Beliau berkata kedua-dua syarikat membangunkan teknologi itu dari awal dengan mengintegrasikan keupayaan kenderaan dan dron secara menyeluruh bagi meningkatkan prestasi kedua-duanya. 

Presiden DJI, Luo Zhenhua turut menyuarakan pandangan yang sama dengan menegaskan bahawa teknologi seharusnya tidak menjadi sekadar alat permainan untuk golongan tertentu. 

"Ia sepatutnya menjadi alat yang memberi manfaat kepada dunia," katanya.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai satu kejayaan dalam inovasi produk serta penjenamaan semula ekosistem mobiliti. 

BYD, yang diasaskan pada 1995 sebagai pengeluar bateri, kini menerajui sektor kenderaan tenaga baharu (NEV) di China.

Pada 2024, syarikat itu mencatatkan peningkatan jualan NEV sebanyak 41.26 peratus tahun ke tahun kepada lebih 4.27 juta unit. 

DJI pula, yang ditubuhkan pada 2006 telah berkembang menjadi peneraju industri dron global dengan produknya digunakan secara meluas dalam bidang perfileman, pertanian, operasi mencari dan menyelamat, infrastruktur tenaga dan banyak lagi. 

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan