WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NORANIZA IDRIS BUAT LAPORAN POLIS DAKWA PERNIAGAAN MURUKU DITIPU RM630,000

04/03/2025 02:56 PM

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Penyanyi Noraniza Idris hari ini membuat laporan polis selepas perniagaan muruku miliknya mengalami kerugian hampir RM630,000, dipercayai akibat ditipu sebuah syarikat di bawah sebuah akademi keusahawanan tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Beliau ketika ditemui berkata dia menyedari telah diperdaya selepas syarikat terbabit gagal melunaskan sebarang pembayaran, walaupun telah mengambil 20,000 pek produk sejak perjanjian kolaborasi di antara kedua-dua pihak ditandatangani pada Mei tahun lepas.

Penyanyi lagu etnik berusia 57 tahun itu berkata kerugian dialami pihaknya meliputi kos pembelian mesin khas pembuatan muruku, percetakan label, pembungkusan dan pembayaran gaji 20 orang pekerja.

“Segalanya bermula apabila akademi berkenaan datang dengan usul menggunakan produk saya untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, atas dasar sokongan terhadap hasrat mereka saya telah bersetuju menyediakan 5,000 pek muruku setiap bulan.

“Saya mula sedar ada yang tidak kena sejak Jun tahun lepas, kerana mereka memberikan pelbagai alasan setiap kali saya bertanyakan mengenai bayaran dan melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 secara berperingkat,” katanya ditemui selepas laporan tersebut dibuat di sini hari ini. 

Noraniza berkata keadaan menjadi semakin rumit apabila beliau terpaksa memberhentikan 10 pekerjanya, kerana tidak mampu untuk menanggung kos pembayaran gaji ekoran kerugian yang dialaminya. 

“Saya harap mereka yang terlibat dapat tampil memberikan jawapan, saya nekad buat laporan polis sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain agar tidak terpedaya dengan akademi terbabit,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekesalan berhubung kejadian itu kerana turut mengganggu emosi keluarganya yang telah bersama-sama berusaha membangunkan syarikat makanan ringan tersebut sejak setahun lepas.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan tengok keadaan anak-anak kerana mereka sanggup berkorban masa berjaga malam untuk pastikan kilang ini terus beroperasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan