WILAYAH - SARAWAK > BERITA

24 KEJADIAN LUBANG BENAM DIREKOD BAGI TEMPOH 2019 HINGGA 2024

06/03/2025 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11 kes. 

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan tiga kejadian direkodkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.

“Kementerian ini, melalui JMG sentiasa komited dalam usaha pengurangan risiko bencana geologi di kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi lubang benam untuk memastikan keselamatan awam terjaga,” menurut NRES.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai jumlah kejadian lubang benam yang dilaporkan di negara ini dalam lima tahun terakhir dan langkah kementerian dalam menangani isu berkenaan.

NRES juga memaklumkan, JMG berperanan memberikan ulasan berkaitan penilaian bahaya dan risiko geologi dan turut terlibat dalam penggubalan piawaian terhadap perancangan pembangunan negara di semua peringkat. 

Selain itu, kementerian itu menyatakan kesediaan untuk meneliti semakan semula piawaian pembangunan melibatkan kawasan berisiko tinggi lubang benam bagi meningkatkan keselamatan.

“Maklumat utama yang perlu diberi penekanan adalah maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan yang menjadi asas kepada penyediaan laporan cadangan pemajuan dan laporan geoteknikal,” menurut NRES.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan