GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Kerja-kerja fizikal bagi projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, dekat sini dijangka bermula suku keempat tahun ini dan siap pada 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata pelaksanaan projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua itu melibatkan lebuh raya sepanjang 17.4 kilometer (km) dan jajaran bertingkat sejauh 9 km.
"Pada 24 hingga 27 Feb lepas, satu bengkel kajian nilai (VA) telah diadakan melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya (LLM), Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan agensi kerajaan Pulau Pinang termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). KKR telah memaklumkan bahawa persetujuan bersama PLUS telah dicapai iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja fizikal suku keempat tahun ini.
"Jumlah kos sebenar akan dimuktamadkan di peringkat KKR bersama PLUS kelak, namun saya difahamkan berlaku penjimatan daripada kos sebenar yang diumumkan iaitu RM3 bilion," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata projek berkenaan akan meliputi lapan fasa pembangunan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik.
Zairil berkata selain pembinaan lebuh raya, beberapa persimpangan kritikal akan dinaik taraf antaranya Persimpangan Bertingkat Juru Utara (Autocity), Persimpangan Jambatan Pulau Pinang dan Susur Jalan Baru serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan.
Beliau berkata konsep lebuh raya itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti dilaksanakan di Ipoh, Perak iaitu pengguna dalam perjalanan ke Utara tidak perlu keluar di Plaza Tol Juru manakala perjalanan ke Selatan tidak perlu keluar di Tol Sungai Dua.
Projek itu juga, katanya melibatkan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua.
Zairil berkata sebarang perkembangan terkini mengenai projek itu akan diumumkan dari semasa ke semasa dengan perincian akhir dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merealisasikan projek itu terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskannya dalam pembentangan belanjawan," katanya.
Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan Anwar pada Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dijangka dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta (PPP) dan PLUS Malaysia Berhad serta Unit Perkongsian Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi berkaitan sedang diteliti.
Chow turut meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua kerana keadaan trafik semakin mendesak, yang dibangkitkan ketika taklimat mengenai pembangunan Pulau Pinang April tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial