KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Negara hari ini dikejutkan dengan berita pemergian tokoh ekonomi terkemuka, Tan Sri Dr. Kamal Salih, 78, di kediamannya di Southville City, Dengkil, Selangor.
Pemergiannya sekali gus meninggalkan legasi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan wilayah dan dasar pembangunan negara.
Bekas Pengerusi Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara khususnya dalam bidang ekonomi.
"Saya kehilangan seorang sahabat yang baik dan rakan seperjuangan dalam bidang ekonomi yang terulung di negara kita. Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara khususnya dalam aspek pembangunan wilayah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sulaiman menekankan Allahyarham merupakan ahli saintis serantau yang hebat dan pemikir ekonomi disegani dengan sumbangan besarnya kepada kerajaan serta pelbagai sektor ekonomi lain.
Beliau yang menggantikan Kamal sebagai Pengerusi MIER pada 2021 turut mengenang peranan penting Allahyarham dalam usaha pembasmian kemiskinan, pembangunan wilayah dan memperjuangkan kepentingan bumiputera.
Sementara itu, Dr. Muhammed Abdul Khalid, seorang ahli ekonomi yang juga pernah menjadi penasihat teknikal kanan kepada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia serta pernah memikul jawatan yang diambil alih daripada Allahyarham menyifatkan pemergian ini sebagai satu kehilangan yang sangat besar.
"Beliau (Kamal) merupakan tokoh pembangunan ekonomi yang ulung dan kepakarannya tiada tandingan. Pandangan dan nasihat beliau terhadap pembangunan negara amat cekap dan amat jujur dalam tanggungjawabnya sebagai pemikir intelektual.
"Negara kehilangan seorang pakar ekonomi yang berani dan saya secara peribadi kehilangan seorang mentor, cikgu serta sahabat yang amat saya sanjungi dan hormati. Beliau sangat cekap dan berani serta sentiasa jujur dalam setiap tindakan," katanya.
Dilaporkan solat jenazah Allahyarham Kamal diadakan di Masjid Raudhatul Jannah selepas solat Asar sebelum dikebumikan di tanah perkuburan masjid berkenaan di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor.
Bernama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial