WILAYAH - TIMUR > BERITA

LETUPAN BOM DI SUNGAI GOLOK: PENDUDUK DIMINTA PATUH PIHAK KESELAMATAN

09/03/2025 05:46 PM

KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) --  Penduduk Kelantan dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak keselamatan jika berhasrat untuk berkunjung ke Sungai Golok, Thailand, susulan keadaan tidak menentu di kawasan sempadan itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata suasana di pekan sempadan berkenaan ketika ini berisiko untuk dikunjungi selepas insiden serangan bom dan tembakan di pos kawalan keselamatan Pejabat Daerah Sungai Golok semalam.

“Kita sedia maklum bahawa setiap kali Ramadan ramai penduduk Kelantan ke Sungai Golok untuk membeli juadah atau berbuka puasa bersama rakan dan keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan harus diutamakan dan penduduk perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk berkunjung ke negara jiran.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom tersebut sehingga situasi disahkan selamat selain sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat 

Hari ini, Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Apichet Jeh-Ouma dilaporkan berkata serangan semalam dipercayai bertujuan mencetuskan kekacauan di selatan Thailand.

Beliau berkata kumpulan penyerang yang berpakaian serba hitam dan bertutup muka menaiki dua kenderaan sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi serta melemparkan bom ke arah pos kawalan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan