WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS INDONESIA PINTAS PENYELUDUPAN SENJATA API KEPADA KUMPULAN PENJENAYAH BERSENJATA PAPUA

09/03/2025 05:41 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Mac (Bernama) -- Polis Indonesia menahan tiga suspek dan merampas sejumlah besar senjata api dan peluru dalam usaha membendung penyeludupan senjata kepada Kumpulan Jenayah Bersenjata (KKB) di Puncak Jaya, Papua.

Senjata itu yang sepatutnya diserahkan kepada kumpulan diketuai oleh Lerimayu Telengen, dipintas selepas seminggu pengawasan dijalankan Pasukan Petugas Damai Cartenz dan Polis Papua.

Suspek utama, Yuni Enumbi, 29, ditangkap pada 6 Mac di Kabupaten Keerom, bersama seorang pemandu lori dan pembantunya, yang mendakwa tidak mengetahui kandungan kargo itu.

Ketua operasi pasukan petugas Brigadier Jeneral (Polis) Faizal Ramadhani, dalam satu kenyataan, berkata bahawa rampasan itu akan membantu menghalang aliran senjata haram kepada kumpulan pemisah.

Pihak berkuasa merampas dua senapang laras panjang yang belum dipasang, empat pistol G2 Pindad, serta senapang angin yang dilengkapi penunjuk laser, penyenyap dan teropong.

Turut dirampas wang tunai 369.6 juta rupiah (US$24,640) serta 632 butir peluru 5.56mm dan 250 butir peluru 9mm.

Senjata itu dilaporkan dibeli dari luar Papua pada harga 1.3 bilion rupiah (US$86,667).

Jurucakap pasukan petugas, Pesuruhjaya Yusuf Sutejo berkata siasatan masih diteruskan.

"Kejayaan ini hanyalah permulaan. Kami komited untuk mengesan asal usul senjata ini dan mengenal pasti semua pihak yang terlibat," katanya.

Konflik antara pasukan keselamatan Indonesia dan pemberontak pemisah di Papua semakin memuncak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan serangan ke atas anggota keselamatan dan orang awam semakin meningkat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan