WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA PERGIAT USAHA PEMBENIHAN AWAN UNTUK TANGANI BENCANA BERKAITAN HUJAN

09/03/2025 07:38 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Mac (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Indonesia meningkatkan usaha pembenihan awan bagi menangani bencana berkaitan hujan di kawasan yang terdedah kepada banjir dan tanah runtuh.

Operasi itu melibatkan pesawat menabur natrium klorida (NaCl) dan kalsium oksida (CaO) bagi mengawal intensiti hujan yang sering mengancam penduduk ketika musim tengkujuh.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata operasi itu berkesan dalam mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan hujan lebat yang melampau.

“Usaha ini menunjukkan kepentingan pengubahsuaian cuaca, dan kami akan terus menggunakan strategi sedemikian,” katanya.

Antara 4 dan 8 Mac, BNPB dengan kerjasama Tentera Udara Indonesia serta Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) telah melaksanakan beberapa misi pembenihan awan.

Pada Jumaat lepas, operasi diteruskan dengan lima penerbangan, termasuk dua di perairan selatan Sukabumi yang masing-masing menabur 1,000 kg NaCl.

Penerbangan lain menabur 1,000 kg CaO di Lembangan Sungai Citarum dan Sumedang, diikuti 1,000 kg NaCl di Takungan Saguling serta 1,000 kg NaCl di perairan utara Karawang.

Selepas operasi itu, Abdul Muhari mengesahkan bahawa hujan tidak turun di Jakarta dan kawasan sekitarnya, menunjukkan kejayaan pembenihan awan dalam mengurangkan intensiti hujan.

Susulan kejayaan itu, lapan lagi penerbangan dilaksanakan pada Sabtu bagi menyokong tindak balas bencana di Wilayah Jawa Barat, katanya.

Banjir baru-baru ini di kawasan metropolitan Indonesia, termasuk Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi serta sebahagian Wilayah Banten, telah menjejaskan lebih 120,000 penduduk.

Hujan lebat menyebabkan sungai seperti Ciliwung dan Cikeas yang berpunca dari kawasan tanah tinggi Puncak di Bogor, Jawa Barat melimpah, mengakibatkan kawasan bandar dinaiki air sebelum mengalir ke Teluk Jakarta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan