WILAYAH - UTARA > BERITA

LELAKI DITAHAN UGUT BAPA SAUDARA ISU KEBUN DURIAN

09/03/2025 08:46 PM

BALIK PULAU, 9 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengugut untuk mencederakan bapa saudaranya berhubung pertikaian pajakan kebun durian.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di tepi jalan Lintang Sungai Burung 1 menerusi Op Cantas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata berdasarkan laporan, pengadu mendakwa telah menerima ugutan daripada suspek yang dihantar menerusi pesanan suara di aplikasi WhatsApp.

“Suspek dikatakan mengancam untuk mencederakan pengadu sekiranya dia pergi ke kebun durian berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian adalah kerana isu tunggakan sewa pajakan berjumlah RM12,500, yang kemudian membawa kepada pertikaian selepas kebun tersebut dipajak kepada pihak lain dengan nilai RM100,000 untuk tempoh lima tahun,” katanya di sini, hari ini.

Sazalee berkata dalam operasi itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan