WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEAZAMAN POLITIK, INSENTIF INDUSTRI, DASAR PENTING PERKASA PERANAN WANITA

10/03/2025 09:31 AM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disambut Sabtu lepas menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan pemerkasaan golongan itu bagi meningkatkan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. 

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja baik di sektor awam mahupun swasta namun kekurangan keterlibatan golongan itu pada peringkat pembuat dasar perlu diberi perhatian.

Dalam usaha untuk mencapai hasrat itu, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata tiga aspek yang perlu diberi perhatian ialah keazaman politik, insentif kerajaan kepada industri serta dasar dan perundangan.

Beliau berkata keazaman politik merupakan asas untuk memperkukuh peranan wanita dalam sektor pembangunan memandangkan penyertaan mereka dalam politik ketika ini masih rendah iaitu hanya 13.5 peratus ahli Dewan Rakyat wanita bagi Parlimen ke-15. 

"Peningkatan komitmen politik diperlukan untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang politik termasuk menetapkan kuota minimum bagi calon wanita dalam pilihan raya dan menyediakan program latihan kepimpinan khusus untuk wanita," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata insentif kerajaan seperti pengecualian cukai atau subsidi kepada syarikat yang mengamalkan dasar mesra wanita seperti waktu kerja fleksibel dan kemudahan penjagaan anak pula penting dalam menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan.

Massila berkata penggubalan dan penguatkuasaan dasar serta undang-undang yang menyokong kesaksamaan gender juga adalah kritikal termasuk bagi melarang diskriminasi berdasarkan jantina di tempat kerja dan dasar yang memastikan peluang kenaikan pangkat saksama bagi wanita. 

"Sebagai perbandingan, negara-negara Eropah yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang komprehensif dan melaksanakan dasar antidiskriminasi yang tegas terhadap wanita mengandung telah menunjukkan peningkatan ketara dalam penyertaan wanita dalam tenaga kerja. 

"Sebagai contoh, negara-negara seperti Sweden dan Norway mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang tinggi, yang dikaitkan dengan dasar sokongan keluarga yang kukuh dan persekitaran kerja yang inklusif," katanya.

Walaupun masih ada segelintir pihak yang berpandangan bahawa wanita akhirnya kembali kepada peranan domestik, beliau berkata perubahan dasar, peningkatan akses kepada pendidikan serta kesedaran gender yang semakin meluas telah membuka ruang kepada wanita untuk berkembang dalam pelbagai sektor.

Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin pula berkata fokus utama Dasar Wanita Negara 2025-2030 adalah penting khususnya dalam melindungi wanita daripada isu keselamatan pekerjaan, gangguan seksual dan hak ibu bekerja.

Bagaimanapun katanya kejayaan dasar itu bergantung kepada mekanisme pelaksanaan yang efektif serta sokongan menyeluruh daripada sektor awam dan swasta.

"Pendekatan lebih holistik diperlukan termasuk dasar mesra ibu bekerja, peningkatan kuota kepimpinan wanita dalam sektor swasta dan pembentukan lebih banyak rangkaian sokongan keusahawanan wanita, selain memperkukuhkan pendidikan awal mengenai kesaksamaan gender bagi membentuk generasi yang lebih inklusif," katanya. 

Mashitah berkata Malaysia telah menyaksikan lonjakan signifikan dalam pemerkasaan wanita dengan pelbagai inisiatif yang membuka ruang kepada keusahawanan, kepimpinan dan pendidikan tinggi namun cabaran seperti ketidaksamaan gaji, ketidakseimbangan sektor pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kekangan budaya yang masih wujud. 

Turut senada, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Nor Azira Ayob berkata usaha pemerkasaan wanita perlu dipertingkatkan menerusi pendidikan dan akses kepada pengetahuan yang berasaskan teknikal, teknologi, kejuruteraan dan pendidikan digital.

"Kecerdasan buatan (AI) hari ini membolehkan mereka bekerja walau di mana mereka berada dan lebih fleksibel, Ia juga menjadi sokongan kepada keusahawanan wanita untuk memulakan dan mengembangkan perusahaan mereka,” katanya.

Beliau berkata dasar kerja fleksibel dan bekerja dari rumah perlu dipandang dengan lebih terbuka supaya wanita akan lebih proaktif dalam menyumbang kepakaran mereka sekiranya diberikan fleksibiliti untuk mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan