WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANNAH YAKIN KEPIMPINAN AHMAD SHAPAWI UNTUK TERAJU YAKEB

10/03/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin dengan kepimpinan Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Beliau berkata pengalaman luas bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu dalam pengurusan sukan dapat membantu membela kebajikan bekas atlet negara selain memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

"Saya memilih beliau kerana mempunyai pengetahuan luas mengenai atlet di Malaysia. Saya juga telah melantik beberapa bekas atlet (sebagai Ahli Lembaga Pengarah YAKEB) supaya mereka dapat membantu beliau," katanya selepas merasmikan Stadium Pickleball di Kenanga Wholesale City Fashion Mall di sini hari ini.

Yeoh seterusnya melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu YAKEB dan beliau pasti mereka akan meneruskan langkah baik yang dilaksanakan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed selaku pengerusi sebelum ini.

Ahmad Shapawi menggantikan Noorul Ariffin bermula Ahad, dan beliau dibantu Ahli Lembaga Pengarah YAKEB bagi penggal 2025-2027 yang terdiri daripada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan Hafiz Mat Ramly, Chan Hong Jin (Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan serta Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim (Pengarah Institut Sukan Negara). 

Ahli lembaga pengarah lain ialah Normala Abdul Rashid (bekas pemain bola sepak negara/Presiden Kelab Sukan dan Amal Srikandi), Sharon Wee Ee Li (bekas atlet skuasy negara/Naib Presiden 1 Persatuan Raket Skuasy Malaysia), R. Sharmendran (bekas atlet karate negara/Ketua Jurulatih Sementara Skuad Karate Kebangsaan) dan bekas pemain badminton negara Soo Beng Kiang. 

Sementara itu Hannah berkata beliau optimis kem badminton negara mampu menghasilkan keputusan positif pada saingan kejohanan badminton Seluruh England 2025 di Birmingham yang membuka gelanggang esok.

“Kita ada jurulatih baharu dan ramai atlet profesional mewakili negara. Saya yakin mereka mempunyai kemahiran, cuma perlukan sedikit ketenangan dan lakukan yang terbaik (untuk mengharungi cabaran Seluruh England)," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan