Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 10 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn memuji sumbangan Vietnam selama 30 tahun kepada blok serantau itu, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai bukti komitmen negara itu terhadap visi perpaduan dan kemakmuran ASEAN.
Bercakap di Ibu Pejabat ASEAN untuk menandakan ulang tahun ke-30 keanggotaan Vietnam dalam ASEAN, beliau menekankan peranan transformatif yang dimainkan oleh negara itu sejak menyertai pada 1995, menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah mencapai Asia Tenggara yang bersatu.
"Penyertaan Vietnam dalam ASEAN membuka jalan kepada kemasukan Laos dan Myanmar pada 1997 dan Kemboja pada 1999, sekali gus mencapai visi ASEAN-10," katanya dalam ucapan perasmiannya.
Majlis itu juga menyaksikan lawatan pertama setiausaha agung Parti Komunis Vietnam, To Lam, ke Sekretariat ASEAN, lawatan yang dipuji Kao sebagai simbol komitmen Vietnam terhadap kerjasama serantau.
"Di bawah kepimpinan beliau, Vietnam sedang menjalani pembaharuan pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan jentera negara dan meningkatkan ekonomi, sambil mengembangkan penglibatan globalnya dan memperdalam kerjasama dalam ASEAN dan seterusnya," katanya.
Beliau juga menekankan peranan penting Vietnam dalam merapatkan jurang pembangunan dalam ASEAN, memetik Deklarasi Hanoi 2001 mengenai merapatkan jurang perbezaan, dan kepimpinan Vietnam semasa menggalas pengerusi ASEAN pada 1998, 2010 dan 2020.
"Ketika ASEAN melangkah ke arah menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 tahun ini, kepimpinan dan penyertaan aktif Vietnam terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kolektif kita," tambah Kao.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial