KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kesemua mesyuarat yang dihoskan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berjalan dengan lancar menerusi pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation yang melibatkan kerjasama erat semua kementerian dan agensi, pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata sejak Januari lepas, Malaysia telah menghoskan 46 mesyuarat, termasuk empat di peringkat menteri.
“Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 18 sehingga 19 Jan di Langkawi, Kedah merupakan pembuka tirai kalendar kerja ASEAN bagi peringkat menteri tahun ini,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Anifah Aman mengenai status Kepengerusian ASEAN tahun ini dan program-program ASEAN yang akan diadakan di Malaysia, serta impaknya kepada negara.
Mohamad berkata semasa sesi pemukiman berkenaan, Malaysia berkongsi keutamaan dan keberhasilan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semua negara anggota ASEAN dan mereka telah menzahirkan sokongan bagi menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Beliau berkata selain mesyuarat-mesyuarat berjadual, Malaysia turut menganjurkan 18 acara sampingan berprestij berkaitan ASEAN, antaranya ASEAN AI Summit pada Jun ini di Kuala Lumpur, dan penganjuran program-program berkenaan bukan sahaja menggalakkan kerjasama serantau, malah membuka peluang ekonomi serta pelaburan bagi Malaysia.
Mohamad berkata peluang perbincangan dua hala strategik turut ditawarkan di Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog dan Rakan Luar ASEAN, yang membolehkan Malaysia menangani pelbagai isu berkepentingan, termasuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, peralihan tenaga dan ekonomi hijau di samping memperkukuh hubungan diplomatik dua hala sedia ada.
“Penganjuran mesyuarat dan program tahun ini dijangka dapat memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, terutama sektor pelancongan, pembangunan dan pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Selain itu Malaysia berpeluang untuk memimpin rundingan dan membina konsensus dalam kalangan negara anggota ASEAN, sekali gus memperkukuh profil dan pengaruh ASEAN di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata Malaysia akan turut menumpukan kerjasama dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan awam, dan kesejahteraan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat di bandar dan luar bandar serta memperkenalkan program-program latihan dan pendidikan untuk membangunkan tenaga kerja lebih kompetitif.
Menjawab soalan tambahan Anifah mengenai pendirian Malaysia susulan mesyuarat antara negara-negara ASEAN dan China di Dialog Bilateral Pertama tentang Pengelolaan Masalah Maritim di Laut China Selatan di Langkawi, Mohamad berkata pendirian Malaysia tidak akan berubah dan konsisten dengan pendekatan dalam menyelesaikan rundingan tentang Laut China Selatan.
“Perbincangan atau mesyuarat itu tidak membincangkan soal tuntutan atau soal Kod Tatalaku (COC),” katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar sama ada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Mohamad berkata Malaysia akan memastikan pemimpin-pemimpin dunia termasuk Trump hadir pada sidang kemuncak penting itu di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial