WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EAIC PERKUKUH INTEGRITI SEKTOR AWAM, DEKATI MASYARAKAT MELALUI PROGRAM ERAT RAMADAN

12/03/2025 08:08 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bertekad untuk terus memperkukuhkan peranan sektor awam dalam memartabatkan integriti negara menerusi pelbagai program mendekati masyarakat.

Pesuruhjaya EAIC Datuk Seri Dr. Yusof Ismail berkata penting bagi agensi penguatkuasaan melaksanakan ikrar dan amanah dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan hasil negara tidak bocor keluar serta integriti negara terus diperkasakan.

“Bila kita kaitkan konsep saf dalam solat dengan tugasan agensi penguatkuasaan, kita sentiasa dikehendaki berada dalam saf yang lurus dan kukuh serta mengamalkan apa yang kita ikrar dan cakap.

“Setiap agensi penguatkuasaan sudah pasti mempunyai ikrar masing-masing yang perlu mereka laksanakan dengan amanah,” katanya kepada media di Program ERAT Ramadan 2025 yang dianjurkan bersama EAIC dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Warisan Ummah Ikhlas di sini hari ini.

Bertemakan ‘Menyemai Inspirasi, Memperkukuh Integriti’ antara program hari ini ialah EAIC #QURANHOUR yang mentadabur Surah As-Saf dan menekankan prinsip integriti, serta aktiviti memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada peserta.

Turut hadir pada majlis hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, Yusof berkata EAIC juga berusaha mendekatkan diri dengan masyarakat supaya orang awam mudah berhubung dengan agensi penguat kuasa serta memastikan isu berkaitan integriti dan penguatkuasaan dapat dibendung lebih awal.

“Ini adalah tahun kedua program ini dianjurkan. Tahun lepas, program subuh di Masjid Wilayah Kuala Lumpur menarik kehadiran lebih 10,000 orang termasuk jemaah yang datang dari Kelantan menaiki bas kerana minat terhadap program sebegini. Di situ juga kita terapkan isu integriti dan kepentingan membersihkan diri, selaras dengan keberkatan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata program mendekati masyarakat seperti ini akan diteruskan ke seluruh negara sebagai sebahagian perancangan strategik EAIC bagi tahun ini.

“Pada tahun lalu, program yang sama telah diadakan di Sarawak dan ia mendapat sambutan memberangsangkan. Selepas program (hari) ini, kami merancang untuk mengadakan program di Terengganu pada Mei,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im memuji penganjuran program itu yang mengajak bukan sahaja warga agensi penguatkuasaan tetapi juga seluruh rakyat Malaysia menghayati hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa menekankan isu amanah, integriti, menjauhkan diri daripada rasuah dan salah guna kuasa

“Ini merupakan tahun kedua saya menghadiri program ini dan pengisian kali ini lebih bermakna dengan tadabur Surah As-Saf yang sangat berkait dengan nilai amanah dan integriti,” katanya.

Hampir 2,000 peserta menghadiri program hari ini terdiri daripada warga kerja 21 agensi penguatkuasaan di bawah penyeliaan EIAC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan