WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN KOMUNIKASI TEGAS PERANGI KANDUNGAN BERUNSUR FITNAH DAN HASUTAN - TEO

12/03/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara dengan menyebarkan kandungan yang berunsur fitnah dan hasutan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan, serta undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

“MCMC juga bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial bagi memastikan keselamatan serta keharmonian ruang siber, selain memastikan pematuhan undang-undang negara,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata dalam menangani isu berkaitan akaun palsu, fitnah dan hasutan, sebanyak 10,167 akaun palsu dan 130 kandungan berunsur fitnah di media sosial telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan dengan kerjasama MCMC bagi tempoh 2022 sehingga 1 Mac 2025.

Dalam tempoh sama, empat laman sesawang berunsur hasutan dan satu laman sesawang berunsur fitnah turut dikenakan tindakan sekatan.

Teo berkata bagi isu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja), sebanyak 6,911 kandungan jelik telah dikenakan tindakan penurunan.

Selain itu, sebanyak 196 kes berkaitan 3R telah disiasat, dengan sembilan daripadanya didakwa oleh Jabatan Peguam Negara, manakala empat kes telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 196 kes berkaitan 3R telah disiasat dan daripada jumlah tersebut sebanyak sembilan kes telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan empat kes telah dikenakan hukuman oleh mahkamah,” katanya.

Teo berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan MCMC bagi memastikan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna khasnya kepada keluarga dan kanak-kanak.

Menurutnya Task Force Menangani Berita Palsu dan 3R yang ditubuhkan Kementerian Komunikasi berperanan untuk memantau dan menangani penyebaran berita palsu dengan penambahan fokus terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R yang boleh mengancam politik, ekonomi, sosial, agama, budaya, keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1 Dis 2022 sehingga 11 Mac 2025, task force itu telah bermesyuarat sebanyak 28 kali dan menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai jabatan serta agensi termasuk MCMC, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Komunikasi Komuniti dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Mengenai keselamatan dalam talian, Teo berkata MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan media sosial, telah menurunkan 88,381 kandungan, berkaitan akaun palsu dan penyamaran serta menyekat lima laman sesawang berunsur penipuan dari 1 Jan 2022 hingga 1 Mac 2025.

Katanya syarikat telekomunikasi juga menyekat hampir 1.5 bilion panggilan meragukan, 1.2 bilion Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak diminta, dan menamatkan perkhidmatan bagi 118,184 talian yang menghantar SMS meragukan, termasuk talian mudah alih dan tetap dalam tempoh sama.

Beliau turut memaklumkan peningkatan ketara dalam kandungan berkaitan perjudian, dengan 18,814 kandungan diturunkan atas permohonan MCMC pada 2023, meningkat kepada 189,484 pada tahun lalu.

“Setakat 1 Mac tahun ini sahaja, sebanyak 34,274 kandungan berunsur perjudian telah diturunkan atas permohonan MCMC,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan