SUNGAI PETANI, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang didalangi warga tempatan dalam satu operasi khas, di sini semalam.
Dalam operasi yang dijalankan pada 7.10 malam di sebuah lokasi yang dijadikan sebagai rumah transit di sekitar Kuala Muda itu, sebanyak 18 pendatang etnik Rohingya dari Myanmar berusia 12 hingga 40 tahun diberkas.
Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata turut ditahan dua warga tempatan yang disyaki menjadi dalang dalam sindiket penyeludupan tersebut.
“Dalam serbuan itu, kesemua pendatang tanpa izin tersebut dipercayai baharu tiba dari negara jiran menggunakan jalan laut sebelum dipindahkan melalui jalan darat ke rumah transit.
“Mereka kemudian akan diserahkan kepada saudara mereka di Malaysia dengan bayaran tertentu yang dikenakan oleh sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata pihaknya sedang menyiasat jumlah sebenar warga asing yang telah dibawa masuk oleh sindiket itu serta sama ada mereka mempunyai kaitan dengan rangkaian pendaratan ratusan etnik Rohingya di Langkawi, baru-baru ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awam serta risikan yang dijalankan selama dua minggu, sindiket tersebut dikesan menggunakan jalan laut dan darat bagi melintasi sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.
Beliau berkata, kesemua pendatang tanpa izin yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Manakala dua rakyat tempatan yang menjadi dalang dalam sindiket ini akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani bagi mendapatkan Perintah Tahanan Reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial