WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUNTIKAN RM1.1 BILION BUKAN DANA HANGUS TETAPI PINJAMAN YANG PERLU DIBAYAR SEMULA - PM ANWAR

13/03/2025 11:51 AM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) bukanlah ‘dana hangus’ tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar semula.

“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu, mudah-mudahan, akan mengurus dengan lebih baik, mendapat keuntungan dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion.

“Ia bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.

Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas melalui proses ketat termasuk pelaksanaan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa Ernst & Young (EY) bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam syarikat tersebut.

Beliau berkata dana itu disalurkan khusus kepada vendor yang telah melaksanakan kerja tetapi belum menerima bayaran, dan bukannya kepada SEB secara langsung.

“RM1.1 bilion itu khusus kepada vendor. Daripada sekitar 2,000 vendor, 80 peratus adalah vendor bumiputera. Bagaimana harus mereka dihukum? Ini adalah hak mereka yang perlu dibayar.

“Kalau kita biarkan Sapura Energy muflis, apa jadi? Ini satu-satunya syarikat minyak dan gas Malaysia yang boleh beroperasi di bawah pelaksanaannya. Jika ditutup, seluruh kegiatan hiliran ataupun peringkat bawah pelaksanaanya akan diserahkan kepada syarikat asing,” katanya.

Anwar juga berkata keputusan membantu SEB bukan satu tindakan menyelamatkan syarikat besar dan pengurusannya, sebaliknya pengurusan lama termasuk pengerusi dan pengurusan kanan mesti berundur dan digantikan dengan pasukan baharu.

“Kita memastikan semua siasatan, termasuk terhadap kemungkinan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, diteruskan. Itu bukan urusan kita. Yang penting adalah memastikan vendor mendapat hak mereka,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau kekal tegas menolak konsep “bailout” sejak dari awal penglibatan beliau dalam pentadbiran negara.

“Saya antara orang yang paling keras dalam soal ‘bailout’ kerana pengalaman saya daripada awal dulu. Tetapi dalam kes ini, kita membuat pertimbangan dengan teliti, mengambil kira kepentingan vendor tempatan dan memastikan pengurusan baharu yang lebih baik diterapkan.

“Jangan kata Anwar telah mengkhianati amanah dan menjadi alat kepada korporat. Itu pembohongan kerana kedangkalan ilmu dan keengganan mendapat fakta yang betul.

“Bila kita tegur dan kritik Sapura Energy tiga, empat tahun dahulu, mungkin saudara ingat debat saya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya kata jangan ‘bailout’,” katanya.

Dalam kenyataan pada Selasa, SEB menjelaskan pihaknya telah memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).

Syarikat itu memaklumkan pihaknya telah memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan