WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA JURUTERBANG TENTERA UDARA DIDAKWA ATAS INSIDEN BOM

13/03/2025 12:12 PM

SEOUL, 13 Mac (Bernama-Yonhap) -- Dua juruterbang pesawat tempur Tentera Udara Korea Selatan didakwa pada Khamis selepas siasatan mendapati kesilapan mereka menyebabkan pengeboman secara tidak sengaja di sebuah perkampungan minggu lalu, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.  

Pada Khamis lalu, dua pesawat tempur KF-16 menggugurkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer di utara Seoul, mencederakan 38 orang termasuk 24 orang awam.  

"Pasukan Penyiasatan Jenayah mengesahkan bahawa kesilapan juruterbang dalam memasukkan koordinat sasaran menjadi punca utama kejadian," lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian.

Dua juruterbang yang didakwa pada Khamis dikenakan pertuduhan kecuaian profesional sehingga menyebabkan kecederaan.  

Dalam siasatan awal yang diumumkan pada Isnin, Tentera Udara memaklumkan bahawa pegawai berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menyedari kesilapan mereka selepas memasukkan koordinat sasaran yang salah sebelum berlepas.  

Tentera Udara turut mengaitkan insiden itu atas kelemahan dalam pengurusan dan prosedur pemeriksaan, serta menggugurkan dua komander unit kerana gagal memberi arahan yang jelas kepada anggota bawahan mereka.  

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan