WILAYAH - SELATAN > BERITA

BEKALAN KELAPA, SANTAN DI JOHOR KEMBALI STABIL - EXCO

13/03/2025 02:50 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Bekalan kelapa dan santan di Johor kembali stabil selepas mengalami kekurangan pada awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata usaha berterusan dilakuan agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi lain untuk memastikan bekalan mencukupi terutama menjelang Aidilfitri.

Lee berkata kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Jualan Rahmah bagi membantu rakyat mendapatkan kelapa dan santan pada harga lebih rendah.

“Tadi semasa tinjauan mesra memang kita ada bincang dengan penjual kelapa… santan. Bekalan setakat ini stabil cuma memang kita akui bahawa harga (santan) lain sikit daripada puratanya RM12 hingga RM14 sekilogram, sebelum ni naik kepada RM16 hingga RM17 sekilogram pada masa ini.

“Pada hari ini, menerusi Jualan Rahmah, kita beri subsidi dan diskaun 30 peratus iaitu harga dijual pada RM12 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Peringkat KPDN Johor di Pasar Awam Taman Perling di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Lee berkata kerajaan negeri dan agensi terlibat akan terus berusaha mempelbagaikan langkah seperti menambah stok dan meningkatkan bekalan sebagai usaha menstabilkan harga dalam jangka masa panjang.

Bulan lepas, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dilaporkan mengambil langkah menstabilkan bekalan kelapa domestik dengan mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa atau bersamaan 661 metrik tan, dalam menangani isu kekurangan bekalan kelapa negara.

Sementara itu, Program PJRM di peringkat Johor kini diperluas di pasar awam secara bersasar dan merupakan tambahan kepada tiga kaedah sedia ada iaitu PJRM dalam premis, luar premis dan bergerak.

Program berkenaan dilaksanakan sebulan sekali yang melibatkan peniaga di pasar awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pasar Awam Taman Perling, yang menjadi pasar awam pertama di negeri ini dipilih untuk melaksanakan PJRM@Pasar.

Sebanyak 20 daripada 98 peniaga telah menyertai PJRM@Pasar dengan menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus daripada harga jualan asal untuk barangan keperluan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran, daging, telur, kelapa, santan dan barangan keperluan lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan