WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USD700 JUTA DIPINDAH KEPADA SYARIKAT JHO LOW TANPA KELULUSAN LEMBAGA PENGARAH - SAKSI

13/03/2025 08:37 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Bekas pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) R. Rajagopal berkata tiada kelulusan Lembaga Pengarah diperoleh bagi memindahkan USD700 juta dana syarikat itu kepada Good Star Limited yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Rajagopal, yang juga bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, berkata beliau membuat penemuan itu semasa menyiasat skandal 1MDB. 

"Tiada arahan daripada Lembaga Pengarah (1MDB) agar USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star. 

“Siasatan saya mendapati pindahan wang itu adalah bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah," katanya. 

Saksi ke-11 pembelaan itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee, yang masih bebas, didakwa mengalihkan dana syarikat itu sebanyak USD1 bilion kepada pihak ketiga.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee, yang masih bebas, didakwa mengalihkan dana syarikat itu sebanyak USD1 bilion kepada pihak ketiga.

Dana itu sebenarnya adalah untuk didepositkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI. 

Bagaimanapun, hanya USD300 juta dipindahkan bagi tujuan tersebut manakala bakinya iaitu USD700 juta dialihkan kepada syarikat Good Star Limited. 

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat iaitu menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung 24 Mac depan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan