KUALA TERENGGANU, 15 Mac (Bernama) -- Dua lelaki masing-masing pengarah syarikat dan akauntan, mengalami kerugian sebanyak RM86,700 selepas terperdaya dengan sindiket tawaran tender palsu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kedua-dua mangsa telah dihubungi melalui panggilan telefon yang menawarkan projek kerajaan.
Beliau berkata mangsa pertama seorang pengarah syarikat berusia 55 tahun kerugian RM72,300 selepas membuat dua kali pembayaran bagi membekal power station ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut pada 11 Mac lepas.
“Mangsa kedua pula ditawarkan membekal barangan mentah iaitu 80 kotak buah kurma untuk majlis berbuka puasa yang akan diadakan esok. Mangsa yang terperdaya telah membuat transaksi sebanyak RM14,400 ke akaun bank seperti diarahkan, juga pada 11 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata kedua-dua mangsa kemudiannya berasa curiga telah membuat semakan dengan jabatan berkaitan dan mendapati tiada tawaran tender seperti dinyatakan.
Susulan itu, kedua-dua mangsa telah membuat laporan di balai polis berhampiran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kejadian berlainan, seorang pengurus hotel kerugian RM60,000 selepas ditipu kenalan yang menjalankan urusan jual beli tanah.
Menurut Azli, pada 17 Okt tahun lepas, mangsa seorang lelaki berusia 66 tahun telah menyerahkan 10 keping geran kepada rakannya dikenali sebagai Aimi, untuk tujuan gadaian bagi tempoh tiga bulan.
Katanya, berdasarkan perjanjian, mangsa yang berasal dari Selangor akan menerima pembayaran sebanyak RM250,000 bagi 10 lot tanah digadaikan.
"Mangsa tidak berpuas hati kerana sehingga kini beliau hanya menerima wang sebanyak RM30,000.
"Mangsa yang curiga telah membuat semakan dengan pejabat tanah Besut dan terkejut apabila mendapati dua lot tanah kepunyaannya bernilai RM60,000 telah ditukar milik kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan serta kebenaran," katanya.
Beliau berkata mangsa telah berusaha menghubungi suspek lelaki berusia 57 tahun namun gagal menyebabkan dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu tengah hari semalam kerana mengesyaki berlaku pecah amanah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial