WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID UCAP TAKZIAH, KUTUK SERANGAN ISRAEL KORBANKAN LAPAN PETUGAS MAPIM

18/03/2025 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah atas pemergian lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza.

Beliau yang berdukacita dengan insiden kejam itu menyifatkan pemergian mereka sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

“Mereka ialah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid turut mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.

“Semoga roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan lapan petugas warga Palestin itu syahid dalam serangan yang berlaku pada 1.30 tengah hari (waktu tempatan) di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lepas.

Serangan udara itu berlaku ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan