SEREMBAN, 18 Mac (Bernama) -- Malaysia bersedia menerima 15 pejuang kemerdekaan Palestin dibebaskan Israel ke negara ini sebagai menjayakan antara syarat kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata Malaysia sentiasa mengambil bahagian dan menyokong perjuangan Palestin mendapatkan kemerdekaan sejak sekian lama dan keputusan tersebut dilihat memadai serta tidak akan membebankan negara.
Mohamad berkata kesemua pejuang itu ditahan Israel sejak 20 ke 30 tahun tanpa sebab dan bicara, tidak lagi dibenarkan pulang ke Palestin sekiranya dibebaskan.
“Kita mengambil bahagian dalam usaha perdamaian, sebagai syarat gencatan senjata dibuat atas inisiatif Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat iaitu jika dibebaskan mereka tak boleh balik ke kampung halaman. Jadi kita bersetuju, asas kita ialah mahu gencatan senjata, yang lain-lain adalah sampingan.
“Dah dapat gencatan senjata, akan ada pertukaran, Hamas bebaskan tawanan perang dia, Israel bebaskan orang Palestin ditahan...(Palestin) mereka sebagai pejuang hak kebebasan untuk mendapat negara merdeka,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS) dan Pertiwi Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata ketika ini, rundingan sedang dilakukan dan pihaknya telah menghantar pasukan bagi mengenal pasti mereka untuk dibawa ke negara ini dengan lokasi penempatan diputuskan kemudian.
“Mungkin dalam masa terdekat (bawa). Selesai dokumentasi nanti kita jangka bawa mereka ke sini, tapi kita akan buat templat sama seperti pelarian Syria dibawa balik dahulu ketika perang Syria mula meletus dan mereka kini menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang aman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap rakyat Malaysia tidak salah anggap dan membuat tanggapan negatif sekiranya 15 pejuang Palestin itu dibawa ke negara ini, kerana usaha tersebut adalah sebagai menjalankan tanggungjawab antarabangsa.
“Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin sudah berjaya kumpul RM99 juta, menunjukkan rakyat kita murah hati dan berjiwa besar. Jadi apalah dengan bawa 15 orang itu. Kita juga nak lihat warga Palestin yang dianiaya sejak lebih 70 tahun menikmati erti gencatan senjata,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial