YAN, 20 Mac (Bernama) -- Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin hari ini menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa dua beradik berusia empat dan tujuh tahun yang cedera akibat bermain mercun di Kampung Baru dekat Kuala Nerang pada Selasa lepas.
Tengku Sarafudin berharap kejadian itu tidak lagi berulang dan menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak bermain mercun di luar rumah agar tidak berlaku kejadian tidak diingini menjelang Syawal.
“Saya dapat berita ini daripada media sosial malam semalam, saya tengok saya pun terkejut … ada dua anak kecil ini macam mana boleh cedera parah? Saya harap ibu bapa dapat memantau anak-anak mereka yang kecil atau masih bersekolah.
“Saya harap pihak berkenaan pantau agar mercun berbahaya tidak dijual … mercun buatan sendiri pun sangat berbahaya.
“Saya haraplah kejadian ini tak berlaku lagi di Kedah atau negeri lain, semua orang nak bergembira beraya, tetapi kita tidak mahu berada dalam kesedihan,” titah baginda.
Tengku Sarafudin bertitah demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Lestari Guar Chempedak, di sini hari ini.
Sebanyak 170 golongan memerlukan dan layak menerima sumbangan berupa wang tunai dan kuih raya membabitkan peruntukan keseluruhan sejumlah RM71,400 daripada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam Selasa lepas, dua beradik berusia tujuh dan empat tahun cedera dan melecur pada badan dipercayai akibat bermain mercun di kawasan rumah mereka di Kampung Baru, dekat Kuala Nerang.
Kejadian itu menyebabkan kedua-duanya dikejarkan ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan seorang daripada mereka parah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial