KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Khamis membincangkan komitmen Malaysia terhadap kejayaan Kepengerusian ASEAN serta persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan pada 26 hingga 27 Mei.
Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menerusi hantaran Facebook memaklumkan bahawa perkara itu diketengahkan semasa pertemuan di pejabat Mohamad di Putrajaya.
“Selain itu, pertemuan berkenaan juga membincangkan isu keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN, hubungan luar ASEAN serta perkembangan terkini mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) yang akan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46,” menurut Wisma Putra.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025 di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Bulan lepas, Mohamad dilaporkan berkata Timor-Leste berkemungkinan menyertai ASEAN sebagai ahli penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus daripada negara anggota ASEAN mengenai penerimaannya sebagai ahli penuh pertubuhan serantau itu.
Negara itu diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keanggotaan pada 4 Mac 2011.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial