KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Lagenda Properties Bhd (Lagenda) sedang mengembangkan kehadirannya di seluruh negara dengan langkah strategik meneroka pasaran Negeri Sembilan susulan pembelian tanah di Seremban yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM550 juta.
Pemaju hartanah itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vivafirst Sdn Bhd membeli tanah seluas 55.92 hektar di Seremban daripada kumpulan Land and General Bhd dengan harga RM60.19 juta.
Pembelian tanah ini merupakan usaha niaga pertama Lagenda di Negeri Sembilan dan negeri yang keenamnya di seluruh negara.
Lagenda dalam satu kenyataan hari ini berkata tanah itu terletak secara strategik di tengah-tengah Senawang, berhampiran dengan taman perindustrian utama dan pembangunan kediaman yang mantap.
"Tapak ini mempunyai kedudukan yang ideal untuk memanfaatkan permintaan kukuh terhadap perumahan mampu milik di kawasan sekitar.
“Dengan infrastrukturnya yang berdekatan dengan kemudahan penting, lokasi ini menawarkan potensi luar biasa untuk pembangunan perbandaran berskala besar, bersepadu dan mampu milik," kata syarikat itu.
Pengarah urusan kumpulan Lagenda Datuk Jimmy Doh berkata sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan strategiknya syarikat itu aktif meneroka peluang pengembangan di negeri baharu.
“Senawang, dengan akses dekat kepada infrastruktur utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pengangkutan awam, kemudahan penting, taman perindustrian, dan komuniti kediaman yang mantap, menonjol sebagai lokasi yang ideal untuk kami memajukan misi kami membangunkan rumah mampu milik dalam perbandaran bersepadu.
"Ini akan mewujudkan nilai jangka panjang bagi penduduk dan pihak berkepentingan," katanya.
Susulan pembelian terbaru itu, simpanan tanah syarikat akan meningkat kepada 2,104.77 hektar.
Syarikat itu, yang memulakan aktiviti pembangunan hartanah di Perak, kini mempunyai kehadiran di Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial