KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian kira-kira RM89,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan projek tidak wujud di Miri.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia 30-an itu mendakwa menerima tempahan peralatan mengukur tanah daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sarawak.
“Individu itu telah meminta mangsa membuat tempahan dengan sebuah syarikat, namun ejen syarikat berkenaan tidak dapat dihubungi setelah ahli perniagaan itu membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alexson berkata mangsa menyedari dirinya ditipu setelah mendapat pengesahan KPKT dan lelaki itu kemudian membuat laporan polis pada 18 Mac.
Dalam kes berasingan, Alexson berkata seorang wanita tempatan berusia 40-an telah mengalami kerugian lebih RM78,000 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.
Beliau berkata mangsa yang menerima tawaran melalui aplikasi WhatsApp telah dijanjikan pulangan komisen sebanyak 10 hingga 20 peratus dengan melaksanakan tugas membuat tempahan hotel.
“Mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang namun tidak menerima komisen seperti dijanjikan, menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM78,823,” katanya dan memaklumkan kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial