KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- IJM Corporation Berhad (IJM) hari ini mencatat satu pencapaian baharu dalam teknologi keselamatan dengan pelancaran rasmi robot keselamatan berkuasa kecerdasan buatan (AI) pertama Malaysia di Menara Prudential, Tun Razak Exchange (TRX).
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan IJM Datuk Edward Chong Sin Kiat berkata inisiatif itu mencerminkan visi syarikat berkenaan untuk mengintegrasikan AI dalam operasi keselamatan, sekali gus meningkatkan pemantauan, kecekapan dan keselamatan.
“Ini adalah robot keselamatan pertama berkuasa AI yang digunakan di negara ini dan kami berharap lebih banyak diperkenalkan pada masa akan datang. Teknologi AI membolehkan pemantauan yang lebih baik, berintegrasi dengan sistem bangunan pintar dan membolehkan anggota keselamatan memberi lebih tumpuan untuk memastikan keselamatan orang ramai,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.
Walaupun menggunakan teknologi keselamatan dipacu AI, Chong berkata syarikat itu mengekalkan kos keselamatan yang sama seperti sebelum ini.
Robot berkuasa AI yang dinamakan Co-Lab itu dibangunkan oleh KABAM Robotics dan dilengkapi dengan kamera berdefinisi tinggi, sensor canggih dan analisis berasaskan AI yang menyediakan pemantauan 24/7 dengan liputan lebih luas dan pengurangan titik buta.
Dengan ketahanan bateri selama tujuh jam bagi setiap pengecasan, robot ini turut dilengkapi dengan integrasi lif dan keupayaan perkongsian peta tapak, membolehkannya bergerak secara autonomi merentasi pelbagai tingkat bangunan.
Chong berkata tidak seperti kamera CCTV konvensional yang mempunyai sudut pandangan tetap, robot berkuasa AI menawarkan pemantauan pada paras mata, sekali gus memberikan medan penglihatan yang lebih tepat untuk meningkatkan pengesanan risiko.
“Robot itu boleh mengenal pasti individu yang tidak dibenarkan selepas waktu pejabat, mengesan pelanggaran larangan merokok dan memantau eskalator yang rosak. Sebaik sahaja sesuatu yang tidak normal dikesan, sistem akan memaklumkan kepada pegawai keselamatan untuk tindak balas pantas,” katanya.
Pada masa ini, syarikat itu sedang menguji robot keselamatan berkuasa AI berkenaan untuk pemantauan dalaman, dengan rancangan memperluaskan penggunaannya di persekitaran luar pada masa hadapan.
Beliau berkata penggunaan teknologi keselamatan berasaskan AI selaras dengan trend global, kerana banyak negara semakin memanfaatkan robotik untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial