WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JURUELEKTRIK DIPENJARA ENAM HARI, DENDA RM3,500 PERDAYA INDIVIDU TAK LAPOR UBAH SUAI METER TNB

26/03/2025 02:14 PM

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Seorang juruelektrik dijatuhkan hukuman penjara enam hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdaya seorang lelaki untuk tidak melaporkan pengubahsuaian meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas S. Thiagarajan, 40, mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda. 

Lelaki itu didakwa memperdaya seorang pemilik premis makanan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM780 sebagai balasan untuk tidak melaporkan kepada pihak TNB berkenaan pengubahsuaian meter elektrik yang dilakukan di premis tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di Puchong pada 20 Mac lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung empat anak yang masih kecil selain pendapatan keluarga yang tidak menentu.  

"Saya memohon maaf kepada mahkamah dan akui kesalahan saya...sebelum dituduh saya telah direman selama enam hari dan ia pengalaman yang menginsafkan, saya tak boleh jumpa anak dan isteri," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa' Zamri memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira keseriusan kes. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan