WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM THAILAND MUDAH MELEPASI UNDI TIDAK PERCAYA DI PARLIMEN

26/03/2025 02:21 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 26 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen pada Rabu, susulan dakwaan oleh parti pembangkang utama negara itu berhubung kegagalannya menguruskan kerajaan gabungan dengan berkesan.

Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha, mengumumkan selepas pengundian bahawa Paetongtarn memperoleh 319 undi percaya berbanding 162 undi tidak percaya.

Beliau menambah bahawa tujuh daripada 488 penggubal undang-undang yang hadir memilih untuk berkecuali.

Menurut Perlembagaan Thailand, usul tidak percaya perlu mendapat lebih separuh daripada jumlah keseluruhan undian ahli Parlimen untuk diluluskan.

"Oleh itu, usul ini memerlukan sekurang-kurangnya 247 undi," kata Wan Muhamad dalam kenyataan dari Parlimen Thailand pada Rabu.

Pada Februari, Ketua Pembangkang, Natthaphong Ruengpanyawut, mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Paetongtarn di bawah Seksyen 151 Perlembagaan.

Natthaphong, yang mengetuai Parti Rakyat - parti pengganti kepada Parti Move Forward yang berhaluan progresif dan reformis - menjadikan kegagalan Perdana Menteri menguruskan kerajaan gabungan sebagai alasan utama usul itu.

Sepanjang perbahasan selama dua hari, Paetongtarn, yang merupakan Perdana Menteri termuda dalam sejarah Thailand, menolak semua dakwaan dan menegaskan kestabilan kerajaan pimpinannya.

Menurut laporan media Thailand, Natthaphong mendakwa Paetongtarn gagal menangani beberapa masalah kronik negara, termasuk ekonomi yang merosot, pencemaran udara, peningkatan jenayah dan rasuah.

Beliau juga menuduh pentadbiran Paetongtarn lebih mengutamakan kepentingan keluarganya serta bapanya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Selain itu, Paetongtarn turut didakwa oleh Prawit Wongsuwan, pemimpin Parti Palang Pracharath - bekas rakan gabungan Pheu Thai - berhubung perisytiharan aset yang didakwa palsu, namun beliau menafikan tuduhan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan