WILAYAH - SABAH > BERITA

30 MAC DIWARTA ULANG TAHUN KELAHIRAN RASMI YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH

26/03/2025 09:06 PM

KOTA KINABALU, 26 Mac (Bernama) -- Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman diraikan pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, selaku pengerusi majlis sambutan itu, berkata tarikh berkenaan adalah selaras dengan Warta Kerajaan Negeri.

"Selaras dengan Warta Kerajaan Negeri Sabah, tarikh Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri adalah pada 30 Mac (Ahad),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sambutan ini adalah yang pertama selepas bekas Ketua Menteri Sabah itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 pada 1 Januari lepas.

Berikutan itu, katanya, sebanyak tujuh acara rasmi telah diatur, bermula Ahad ini sehingga 21 Jun.

Dr Joachim berkata, empat daripada tujuh acara itu akan berlangsung pada 21 Jun, iaitu Istiadat Perbarisan, Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad Istiadat Perbarisan, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat Kebesaran Sabah, dan Majlis Jamuan Negeri.

Katanya, tiga acara selebihnya iaitu Majlis Bacaan Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Hari Etnik Sabah, dan Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak-Anak Yatim, diadakan sebelum 21 Jun.

Tarikh baharu itu menggantikan tarikh sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah yang sebelum ini diadakan pada Sabtu pertama bulan Oktober.

Disebabkan sambutan kali ini jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya (31 Mac) adalah cuti ganti kelepasan am bagi Sabah.

Jika sambutan Aidilfitri 1 Syawal jatuh pada 31 Mac, maka cuti ganti bagi sambutan itu dijangka dilanjutkan ke hari Rabu, 2 April, iaitu Hari Raya kedua.

Tarikh baharu itu menggantikan tarikh sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah yang sebelum ini diadakan pada Sabtu pertama Oktober.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan