WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKALAN MINYAK MASAK DI KELANTAN STABIL MENJELANG AIDILFITRI - KPDN

26/03/2025 10:05 PM

KOTA BHARU, 26 Mac (Bernama) -- Bekalan minyak masak peket di Kelantan kekal stabil walaupun permintaan meningkat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail.

Beliau berkata kekurangan bekalan seperti yang diadukan pengguna hanya berlaku secara sementara melibatkan waktu-waktu tertentu dengan secara keseluruhan minyak masak masih boleh didapati di negeri ini.

“Minyak masak (peket) dibekalkan setiap pagi ke 97 premis perniagaan di seluruh negeri, mencapai 80 peratus daripada keperluan keseluruhan. Namun bekalan boleh habis pada sebelah malam sebelum stok baharu tiba keesokan harinya.

“Permintaan tinggi disebabkan peningkatan penggunaan sepanjang Ramadan dan kewujudan pasar Ramadan yang menjadi pusat tumpuan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa KPDN Kelantan di sini hari ini.

Azman berkata KPDN akan terus memantau dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan bekalan minyak masak.

Sementara itu, beliau berkata Program Jualan Rahmah MADANI anjuran KPDN di Kelantan terus mendapat sambutan menggalakkan dengan nilai jualan program itu mencecah RM22.14 juta yang melibatkan subsidi kerajaan sebanyak RM1.53 juta bagi memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan.

Azman berkata program ini dilaksanakan sempena Ramadan dan musim perayaan di 14 Parlimen melibatkan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan pengguna mendapatkan barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, ayam, telur dan keperluan lain pada harga lebih rendah dengan potongan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan