WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ENJIN TERBAKAR, PESAWAT AIRASIA SELAMAT MENDARAT DI KLIA2

27/03/2025 08:31 AM

SHAH ALAM, 27 Mac (Bernama) -- Penerbangan Air Asia AK128 dalam perjalanan ke Shenzhen, China terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) sejurus berlepas, kerana dilaporkan berlaku kebakaran enjin di sebelah kanan pesawat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung pendaratan kecemasan pesawat pada 10.37 malam, sebelum menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sembilan anggota ke lokasi. 

Beliau berkata pesawat yang berlepas pada 9.59 malam dan membawa 171 penumpang serta anak kapal itu, mendarat dengan selamat pada 12.08 tengah malam di KLIA 2 dengan api telah dipadamkan.

“Pegawai Operasi melaporkan pesawat jenis Airbus A320-216 itu mengalami kerosakan pada Pneumatic Ducting Burst dan api telah dipadamkan oleh sistem Halon dalam pesawat sebelum pesawat mendarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata bomba kemudiannya bertindak membantu mengeluarkan mangsa daripada pesawat dan memastikan tiada lagi punca api sehingga selesai.

Beliau berkata operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat KLIA itu, turut melibatkan tiga anggota daripada pasukan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan